Jun 28, 2011

Permulaan Yang Baik

Assalamualaikum..

Lama juga tidak menjenguk di sini, Izz Zayani kini telah berpindah atau menetap di rumah sewa bersama sahabat-sahabat tercinta.Terima kasih sahabat-sahabat yang cukup baik dan melayan Izz Zayani dengan baik semoga persahabatan dan uhkwah ini berterusan hingga ke akhirat sana. ^_^

Ucapan sekalung tahniah atas kejayaan sahabat mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat serta Tahlil sempena memasuki rumah sewa baru ini.Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun terpaksa berkejar-kejaran kerana risau barang-barang tidak cukup namun alhamdulillah semua berpuas hati dan majlis dilihat teratur dengan tetamu yang hampir atau lebih daripada 70 orang.Terima kasih kerana sudi hadir pada majlis kami ini.

Kini kaki kembali melangkah dalam alam pendidikan,mulalah episod baru seorang mahasiswa menelaah dan kembali membuntangkan mata melaksanakan tugasan sehari-harian sebagai seorang mahasiswa serta mencuba yang terbaik melunaskan tanggungjawab yang digalas di bahu ini.

Permulaan semester yang baik dengan keputusan peperiksaan yang tidak mengecewakan namun masih terasa banyak kekurangan kerana tidak mampu memperoleh keputusan sehebat sahabat yang lain.Bagi sahabat sekumpulan belajar, Alhamdulillah semuanya mendapat keputusan yang baik.(semester ini kita buat study group lagi)

Dalam semester ini juga satu lembaran baru dibuka,moga hati dibuka luas menerima takdir ini.Takdir apakah ini?Pastinya takdir yang menemukan hati dengan jiwa yang sukar ditafsir.Moga pencarian ini dihentikan di sini moga keredhaan dan restu dariNya dan dari semua diperoleh. InsyaAllah,akan diikat dan disimpul dengan kemas. Semoga apa yang dirancang terus mendapat keberkatan dan dipermudahkan..

Ya Allah,limpahkanlah dan murahkanlah rezeki kami..amin...

Jun 23, 2011

Detik-detik Manis

Alhamdulillah tamat sudah Minggu Pengurusan Pelatih Baru untuk Pengambilan Jun 2011.Pelbagai kenangan manis, pahit dan masam yang dapat dikutip. Terima kasih kepada semua pihak terutamanya sahabat Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) yang bertungkus-lumus menjayakan minggu ini.Begitu juga pihak pentadbiran dan pensyarah pembimbing yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada kami. 
Bagi sesi kali ini, merupakan sesi yang kesekian kalinya Izz Zayani terlibat dengan minggu orientasi ini.Walaupun dahulunya, memang portfolio yang lain dan kini yang lain namun situasi dan kelainan tetap dirasai.

Entah mengapa kali ini dirasakan cukup bermakna.Terharu dengan layanan baik para pelatih Unit L bukan bermakna unit lain tidak baik namun orientasi kali ini lebih mendekatkan jarak hati dan ruang untuk bersama.Alhamdulillah mungkin kerana niat di hati yang menuju satu wawasan dan kata sepakat.

Ucapan maaf beribu kali bahkan berjuta kali juga ingin Izz Zayani ungkapkan dan lafaskan lagi kerana tidak sanggup ingin mengenangkan kezaliman yang dilakukan demi menjayakan "Lakonan Malam Bersama JPP" pasti akan anda kenang sampai bila-bila. Tidak sangka dapat menepis topi seorang pelatih baru yang disemat cantik dan rapi di atas kepala sehingga jatuh ke tanah akibat "lakonan" tersebut.Astaghfirullah...kembali betulkan niat demiNya.Maaf ya adik-adikku,malam tadi mungkin kerana terlalu menjiwai watak atau sudah lama tidak mengeluarkan suara "singa".Aduhai sabarlah ya?

Hari ini, sesi penutupan merupakan sesi paling bermakna apabila dapat bersua muka sekali lagi dan dapat menerangkan segala-galanya.Alhamdulillah,disambut dengan air mata kegembiraan dan keterharuan oleh adik-adik.Nampaknya,kurang juga beban yang ditanggung dalam hati akibat rasa bersalah yang membelenggu diri.Ucapan terima kasih juga diberikan kerana memberi tunjuk ajar.Alhamdulillah niat kami dapat difahami dan diterima dengan baik oleh mereka.Paling terharu apabila kami dihadiahkan serentang kad ucapan yang ditandatangan oleh semua pelatih baru.Alhamdulillah..terima kasih Ya Allah.

Hari ini pengakhiran Minggu Pengurusan Pelatih Baru namun merupakan permulaan tapak mereka untuk terus melangkah di bumi IPG Kampus Ipoh ini.Maka tanggungjawab masih digalas berat di bahu kami.Sahabat-sahabat seperjuangan JPP terasa sungguh indah ukhwah yang terjalin dipermulaan semester baru ini harapan hati moga diteruskan jalinan ini jangan ada lagi duri-duri dan ranjau-ranjau dalam diri kita.Jika ada, biarlah yang bisa kita kutip dan redah bersama-sama.InsyaAllah...niat kerana Allah kerana agama...

p/s: Moga dapat mengutip kenangan terindah bersama kalian di penghujung sisa kita bersama dalam kepimpinan ini.Beri tunjuk ajar pada diri hamba yang banyak kekurangan dan kelemahan diri ini.Terima kasih sahabat-sahabatku.^__^

Jun 22, 2011

Bebanan Kian Ringan

Alhamdulillah....kemaafan memang sukar diluahkan, pabila hati sudah dibelenggu dengan hasad pelbagai perkara negatif akan bersarang menyebabkan hati,jiwa serta fizikal individu menjadi kurang baik.
Namun sedarlah perkara dahulu biarlah berlalu, bawalah hati bukalah minda...

Alhamdulillah kini semakin kuat menghadapi ujian dan hati telah mula memadam kisah-kisah duka.Terima kasih Ya Allah..terasa kembali bertenaga dan kembali kepada sediakala.

Ingin mula belajar menjadi diri sendiri, belajar memaafi dan menerima insan-insan lain.Biarlah duka yang dahulunya pernah ada biarkan sahaja kerana redha Allah yang diingini..

Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Maka, untuk memperoleh kehidupan yang lebih sempurna dan ketenangan hati maafkanlah kesilapan dan kekhilafan insan lain.Semoga dengan itu, bila tiba masa kita dihimpit kekusahan atau kita melakukan kekhilafan mudahlah insan-insan lain memaafkan kita pula.

Suburkanlah sifat-sifat mahmudah dalam jiwa untuk mendapat kecantikan yang abadi tanpa perlu berbelanja tinggi untuk bersolek,rawatan muka dan pelbagai lagi. Cukuplah dengan  kecantikan semulajadi yang lahir dari hati. InsyaAllah...

p/s:andai ada salah silap dan kekhilafan diri ini harap dimaafi..InsyaAllah,saling maaf-memaafi..^_^ jangan tunggu raya je nak minta maaf...^^,

Mari Berfikir..

Seusai mengorak langkah pulang,duduk termenung memikirkan diri.Apakah amalanku pada hari ini diterima oleh Mu?Bagaimana solatku setiap kali mendengar azan berkumandang?Bagaimana niatku dalam melakukan setiap pergerakan dan apa jua pekerjaan?Bagaimana istiqamahku dalam beribadat kepadaMu?Bagaimana pengabdianku dalam membantu menegakkan agamaMu?

Allah...air mata menitis mengenangkan kehinaan diri dan kekurangan serta kekhilafan diri ini.Banyak yang perlu diperbaiki.Mengapa sering kali terlalai dengan nikmat dunia?Sedangkan keredhaanNya diakhirat kelak yang diingini.Mengapa sering biarkan hati sesak tanpa nafas mengapa dibiarkan akal terbelenggu dengan persoalan yang tiada penghujung dan belum pasti.Pasakkan keyakinan padaNya kerana padaNyalah jalan utama terbentang luas.

Masihkah esok akan ada nafas buatku yang hina ini?Adakah taubatku diterima dan dosaku diampunkan?Ya Allah daku tidak layak berada di syurgaMu namun daku tidak sanggup berada di nerakaMu..nauzubillah...Berikan hambaMu ini pertunjuk dan redhailah setiap yang daku lakukan.


Jun 18, 2011

Polis Cinta Bertanya "Apa Motif Kita Bercinta?"



Cinta mempunyai motifnya yang tersendiri.Motifnya adalah apakah yang menyebabkan manusia mudah jatuh cinta kepada pasangannya.Ini menjadi latar belakang kepada permulaan kisah cinta pasangan. Apakah faktor yang mendorong, sehinggakan tidak ada manusia lain yang mampu memenuhi ruang hatinya. 


  • Ibnu Qayim meletakkan tiga motif yang membawa kepada cinta manusia yang dipanggil "simpulan cinta":
  1. Simpulan pertama ialah sifat orang yang dicintai dan ciri-ciri fizikalnya.
  2. Simpulan kedua ialah perasaan orang yang mencintai kepada orang yang dicintai.
  3. Simpulan ketiga ialah keserasian yang wujud antara pasangan.
Bertambah atau berkurangnya rasa cinta dalam hati, bergantung pada erat ataupun longgarnya ketiga-tiga simpulan ini. Setiap simpulan tidak boleh kehilangan satu daripada faktor itu.

Dalam ketiga-tiga faktor ini Izz Zayani ingin menyentuh simpulan cinta yang ketiga iaitu keserasian yang wujud antara pasangan. Keserasian yang bermula daripada penampilan fizikal tidak dapat dielak. 

Nabi Muhammad s.a.w menyatakan, harus untuk lelaki melihat wajah pasangan yang mahu dijadikan teman hidupnya, supaya lebih kukuh rasa hati dengan cinta dan kebersamaan kepada gadis yang mahu dikahwini.

Keserasian roh menjamin timbulnya cinta antara pasangan. Berkongsi matlamat hidup yang sama secara langsung mewujudkan keserasian dalam jiwa. Keserasian secara semulajadi mendorong cinta, adalah secocok dari sudut akhlak,persamaan jiwa, dan kerinduan kepada jiwa yang serasi dengannya. Persamaan mewujudkan daya tarikan antara satu sama lain. 

Kata pujangga menyebut, cinta tidak timbul kerana alasan keindahan dan keelokan yang tampak di mata, dengan anggapan tanpa kedua-duanya tiada cinta. Tetapi cinta adalah keserasian jiwa dan tabiat yang secocok. 

Sekiranya cinta diibaratkan seperti manusia yang berhadapan dengan cermin, kita akan melihat cinta memantulkan kembali setiap gerakan yang dilakukan. Keserasian antara manusia dan imej, seumpama cinta dalam diri yang menjadi cermin, memantul kembali imej diri. Setiap satunya sama, serasi bergerak searah.Keserasian selalu menggerakkan jiwa pasangan bagi bertindak dalam gerak langkah yang sama. Adakalanya, apa yang menimpa kepada pasangannya akan turut menimpanya jua. 

Bagi pembaca yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi bolehlah mendapatkan Buku Semurni Kasih Adam Seutuh Cinta Hawa yang ditulis oleh Zamri Mohamad.Buku yang diolah secara santai dan mudah difahami. ^_^ Bercintalah untuk menuju ke alam pernikahan andai bukan pernikahan matlamatnya tangguhkan dahulu. (muhasabah diri)

p/s: (sekadar perkongsian bersama dan renungan untuk diri sendiri jua..semoga mencapai matlamatnya..amin)

Bersawang Sudah Blog ini...

Assalamualaikum

Lamanya rasa tidak menconteng di blog ini..Izz Zayani ni semakin malas ingin menaip nampaknya..Bukan begitu,kekangan masa yang mencemburui dan cara pengurusan masa Izz Zayani yang kurang profesional agaknya.

Esok akan kembali ke IPG Kampus Ipoh yang tercinta..meneruskan pengajian di sana dan aktiviti yang paling memenatkan untuk pembukaan semester baru ini ialah Minggu Orientasi. Masih perlu melibatkan diri rasanya sudah tidak ada hati namun tanggunggjawab perlu diteruskan. (sabar jela) Harap adik-adik junior yang bakal menjadi pelatih IPG Kampus Ipoh kali ini baik-baik belaka kalau tidak memang senior-senior akan berubah jadi singa.

~Catatan sedikit dahulu kira warm up untuk seterusnya..semoga ada kesempatan untuk menulis lagi~ ^_^

Jun 10, 2011

Tuntutan Menutup Aurat

Tersenarai antara dosa utama yang sangat diperjuangkan oleh syaitan ialah aurat selain zina, mengandung anak luar nikah, membunuh dan pelbagai lagi. Ini kerana dengan terbukanya aurat bermulalah cabang-cabang dosa-dosa yang lain.

Maksud Firman Allah SWT:
"Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup daripada (pandangan) mereka, sambil ia berkata: 'Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada(menghampiri) pokok ini melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)." Al-A'raf:20

Tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki mahupun perempuan menutup aurat ialah:


1.Perbezaan dengan binatang
 -Penutupan aurat ditujukan kepada seluruh anak Adam iaitu manusia.Maka sesiapa yang berpaling dari arahan ini, secara tidak langsung menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan dan akal bagi melaksanakan arahan ini.

2.Agar kaum wanita tidak disakiti
"Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikan misalnya dada,leher dan rambut sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik(jahat) dan yang suka berzina. Kemudian turunlah ayat yang memerintahkan perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara ('afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik." (Syeikh Dr Yusof Al-Qaradhawi)

3.Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam
Sebagai syiar diri sebagai penganut agama Islam. Firman Allah ertinya "...Demikianlah ajaran Allah; dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka termasuklah dia orang yang bertakwa." (Al-Hajj:32)

4.Tanda profesionalisme dalam sistem pemakaian Islam

5.Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah swt.

p/s:Menjaga aurat bukanlah sesuatu yang mudah namun kita sebagai hambaNya perlu sentiasa cuba untuk meningkatkan diri dalam mencari kebahagiaan di jalanNya.Teringat semasa ingin berhijrah menukar jilbab,memang berat..namun atas dorongan sahabat-sahabat alhamdulillah..kini mengharapkan istiqamah yang berterusan. Pemakaian kita kadang kala menjadi perisai pada diri kita sendiri. Didiklah diri untuk berubah sedikit-sedikit kerana perubahan yang drastik yang tidak kekal adalah lebih rugi daripada perubahan kecil  yang baik tetapi berkekalan  "sehari selembar benang pastikan menjadi sehelai kain jua". :)Semoga kita semua di bawah rahmat dariNya. InsyaAllah.

Mendidik bukan mengherdik

Kan comel macam nie? :)


Jun 7, 2011

Main Masak-masak Lagi

Alhamdulillah terbentuk dan tercipta  juga kek kali ini..:) Adun kek dengan penuh kasih sayang barangkali..Walaupun masih terdapat kelemahan kerana bukanlah chef tersohor tapi InsyaAllah akan tambah lagi resepi dalam minda ini...amin..

Jadi untuk perkongsian sahabat-sahabat dan pembaca blog. Cara-cara membuat kek coklat kasih sayang..hihi (ada-ada sahaja ^_^) .

Bahan-bahan
- 4 biji telur
- 75 gram tepung gandum + 25 gram serbuk koko + Secubit garam = diayak bersama
- 2 ½ cawan krim mentega coklat
- 250 gram coklat buku
- 50 gram planta majerin cair
- 100 gram gula kastor
- 1 sudu besar minyak jagung
- Sedikit kepingan badam
- Coklat urai

1. Telur dipukul bersama dengan gula sehingga gebu (pastikan sehingga agak keputihan)
2. Masukkan majerin cair diselang-selikan dengan tepung dan gaul sehingga rata
3. Sediakan bekas bulat dan alaskan dengan krim minyak. 

4.Tuang adunan dan bakar pada suhu 230˚C selama 30 minit
5. Sejukkan kek, kemudian potong kepada dua lapisan
6. Kedua-dua kepingan kek dilekatkan dengan krim mentega coklat
7. Kemudian salut keseluruhan kek dengan krim mentega coklat.
8. Dinginkan ke dalam peti sejuk selama 30 minit.
9. Masukkan coklat buku ke dalam bekas dan cairkan di atas air panas
11. Minyak jagung dituang ke dalam coklat cair dan disejukkan selama 15 minit.
12. Coklat cair tadi dituang ke atas kek.
 
13. Hias tepi kek dengan coklat urai
14. Biarkan kek seketika sehingga coklat menjadi keras
15. Hias kek



~sedia untuk dinikmati : selamat mencuba~




Kek Coklat dah siap






Jun 6, 2011

Seribu Satu Rasa

Tetiba rindu menerjah ke dasar hati...Rasanya sukar dimegerti,rindukan apa entah pun diri sendiri tidak pasti.Apabila rasa aneh ini hadir cepat-cepat langkah ku atur,cepat-cepat ku sedarkan diri dari lamunan..Aduhai,mudahnya hati ini diuji rapuh sekali mudah sungguh..sabar ya duhai hati..kena tabah kena kuat..


Rindu itu mengamit rasa
Rasa yang sukar ku erti
Rindu itu mengamit rasa
Rasa yang indah kala bersambut
Rindu itu mengamit rasa
Rasa yang nanar kala tersalah
Rindu itu mengamit rasa
Usah diracun hati nan lara
Usah diturut lamunan tiada ketahuan
Usah dibiar segalanya bersarang
Biarlah masa yang bisa menentukan
Andai takdir telah tertulis
Pastikan sembuh sayap merpati
Pastikan terbang sang merpati
Pastikan kembali ke sarang merpati
Bersama Membina Mahligai Abadi...

Jun 3, 2011

Bulan Rejab Tiba Lagi...

Sebagai seorang hamba yang dipinjamkan udara untuk bernafas,disedekahkan makanan dan minuman untuk terus melangkah,diberikan Al-quran dan hadis untuk mencari jalan pertunjuk yang benar sedarlah bahawa semuanya hanyalah seketika selagi nyawa belum bercerai dari badan.Janganlah terlalu angkuh dengan nikmat yang Allah pinjamkan sekadar sekejap cuma kerana tanggungjawab yang berat dan besar sebagai khalifah dan hamba di bumi ini yang perlu dilangsaikan..Jarum masa terus berlalu,begitu juga denyutan nadi dan darah yang mengalir ini.Bilakah akan terhenti?Ajal dan maut itu pasti, redha dan pasrah padaNya cuma bawalah bekal secukupnya semasa menuju jalan menemuiNya..Semoga beroleh segala kebaikan di dunia dan di akhirat kelak..amin.. :'(


REJAB ertinya "MULIA". Bulan di mana berlakunya ISRAK dan MIKRAJ pada 27 REJAB. 
Amalan-amalan pada bulan REJAB yang dapat dilaksanakan ialah :-

1. Membaca doa awal REJAB 

2. Mengerjakan puasa sunat REJAB 
. Puasa 20 hari - diampunkan dosa-dosa yang lalu 
. Puasa 19 hari - akan dibinakan mahligai di syurga 
. Puasa 16 hari - dapat melihat ALLAH di dalam syurga 
. Puasa 15 hari - diberi pahala seperti berpuasa 100 ribu tahun 
. Puasa 14 hari - diberi pahala seperti berpuasa 10 ribu tahun 
. Puasa 13 hari - diberi pahala seperti berpuasa 3 ribu tahun 
. Puasa 10 hari - diberi 2 sayap utk terbang seperti kilat di SIRATAL MUSTAQIM 
. Puasa 9 hari - tidak di tolak masuk syurga 
. Puasa 8 hari - akan dibukakan 8 pintu syurga pada hari KIAMAT 
. Puasa 7 hari - ditutupkan 7 pintu NERAKA pada hari KIAMAT 
. Puasa 6 hari - dikeluarkan dari kubur dgn muka bercahaya 
. Puasa 5 hari - terhindar dari seksa kubur 
. Puasa 4 hari - akan dijauhkan dari bala bencana 
. Puasa 3 hari - dibina benteng penghalang dari api neraka 
. Puasa 2 hari - dilipat gandakan pahala amal ibdah 
. Puasa 1 hari - diberi pahala seperti berpuasa 40 tahun. 

3. Melaksanakan Solat Sunat REJAB 
. Solat Sunat Awal REJAB 
. Malam pertengahan atau 15 REJAB 
. Malam akhir atau 30 REJAB 
. Solat Sunat REJAB pada hari KHAMIS pertama bulan REJAB 
. Solat Sunat Taubat diikuti istighfar 

4. Berzikir, bertasbih dan berselawat setiap hari pada bulan REJAB



~YA ALLAH..terimalah amalan-amalanku..Kau ampuni dosa-dosaku golongkan daku dalam insan yang mendapat rahmatMu dan mendapat keredhaanMu~ (muhasabah diri) 
~Daku insan kerdil di bumiMu Tuhan~ (tatkala minda ligat berputar mengingati setiap babak Teater Pesan Dari Kubur)