Dec 28, 2010

CINTA??

Setelah membaca sebuah buku, tangan ini rasakan bagai memanggil-manggil untuk menulis tentang cinta.Apa yang aku tahu tentang cinta?entah..aku sendiri pun belum merasai apakah kehebatan 'CINTA' yang merupakan fitrah Allah berikan kepada insan yang bergelar manusia..tetapi sekadar perkongsian bersama.

"Cinta adalah indah jika anda memberi peluang untuk diri anda dicintai dan anda pula diberi pilihan untuk mencintai seseorang." - Eddy Rosyadie



Kehebatan Cinta adalah perasaan kasih sayang, pengorbanan masa dan tenaga, keikhlasan dan kejujuran serta senyuman si dia di kala hati sedang gundah gulana.
Kekal Bahagia di Dalam Cinta ialah sentiasa ada perasaan kasih ke atas ciri-ciri yang kita cari, berterusan melaksanakan aktiviti untuk menanam rasa kasih dan sentiasa rindu dan berkasih-sayang.
Sejati Dalam Cinta ialah aktiviti kasih mengasihi itu berterusan dan jujur, tiada sedetik perasaan untuk berundur di dalam cinta serta perasaan mengasihi dan dikasihi itu jelas nampak dan dizahirkan dengan perlakuan yang sesuai.

Namun Cinta yang utama ialah Cinta kepada Yang Maha Kuasa itulah cinta yang agung kerana kita menaruh kasih dan sayang kepada pencipta kita yang sudi memberikan kita kehidupan dan kita inginkan dikasihi oleh-Nya agar mendapat keberkatan dan memperoleh kehidupan yang sejahtera sentiasa.

Cinta merupakan lumrah alam yang diwujudkan oleh Allah dalam hati setiap insan seperti mana Allah jadikan Hawa kepada Adam untuk saling cinta-mencintai. Cinta adalah sebentuk rasa atau perasaan dan rasa itu akan berbeza mengikut pandangan mata dan hati serta fikiran. Selain itu, cinta dikatakan berbeza mengikut situasi dan kehendak nafsu. Oleh itu, cinta yang bertanggungjawab ialah cinta yang menjaga keluhuran kejujuran dan kemuliaan iaitu tidak mempermainkan cinta dengan seseorang menyebabkan cinta itu tidak bernilai.
Untuk mendapatkan Cinta, perlulah Bercinta dan memberi peluang kepada orang untuk Mencintai diri anda. Cinta yang baik tentunya cinta yang mempunyai dua hala secara beri dan terima (give and take). Tetapi untu mencari seseorang supaya anda boleh mencintai dirinya dan dia boleh mencintai diri anda adalah sukar.

Oleh itu, carilah cinta dengan mencari ciri-ciri yang anda mahukan, tetapi bertanggungjawab di dalam perihal cinta di atas nama kejujuran di dalam menjaga kehormatan dan kesopanan antara manusia serta bertanggungjawab untuk mencapai kemuliaan di dalam erti cinta, iaitu cinta itu dibina atas dasar kasih sayang bukannya mengambil kesempatan dan tentunya cinta kepada manusia tidak boleh melebihi daripada cinta kita kepada Yang Maha Kuasa.

Tuntasnya, dalam setiap perbuatan kita perlulah kembali kepada Pencipta yang Agung, berusaha dan tawakal kepadaNya.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." An-Nur 26





Dec 24, 2010

Semoga Tabah



Kali ini,izinkan saya bercerita tentang seseorang yang telah saya anggap seperti sahabat,adik dan seorang junior yang hebat bagi pandanganku. Dia seorang yang cukup tabah, selalu saya berfikir dugaan saya berat, tetapi dugaan Allah berikan untuk dia lagi hebat. Saya bersimpati dan hanya dapat mengirimkan doa serta kata-kata motivasi untuknya.
Dia seorang yang sangat baik dan ceria selalu, kadang-kadang bila bersama dengannya terlupa akan dia mempunyai penyakit yang sangat serius. Pada mulanya,dia hanya dikatakan mempunyai penyakit yang dapat disembuhkan melalui pembedahan tetapi setelah pembedahan dilakukan, kesakitannya kembali berulang.
Setelah pemeriksaan dilakukan lagi, kali ini dia disahkan mengidap barah. Hati mana yang mampu tabah, air mata mana yang tak bisa ditahan. Saya yang mendengar khabar itu cukup sedih inikan pula yang memiliki tubuh dan jasad tersebut. Tetapi saya cukup memuji dan bangga akan kekuatannya untuk terus menghadapi dugaan yang Maha Hebat daripadaMu Ya Allah.
Semoga dia sentiasa tabah menghadapi dan melalui semua ini.Terima kasih kerana saya diberi peluang untuk menjadi sahabat dan seorang insan yang turut bersama kamu. Saya cukup bangga dan kamu sangat hebat!

>Khas untuk insan tersebut semoga tabah melalui hari-harimu<

Dec 20, 2010

Maha Pengasih Maha Penyayang

Semua ini mengajar aku erti sebuah kematangan.Selama ini aku rasakan aku cukup kuat untuk menghadapi dugaan namun dugaan kali ini bukan sahaja hebat malahan cukup kuat memukul kehidupanku.

Namun..dugaan ini aku redha..terima kasih Ya Allah.
Mungkin kerana dosa-dosa ku Engkau berikan dugaan ini kepada ku untuk melihat sejauh mana hambaMu ini tahan menghadapi dugaan ini.Ya Allah sungguh hambaMu ini terasa sangat lemah.Lemah dengan penderitaan hati yang sakit,terasa benar-benar perit menahan kemarahan.Ya Allah andai masa untuk ku menahan kemarahan ini masih panjang tolonglah Engkau titipkan kesabaran dalam diri ini.



Yang aku mengerti,aku seharusnya bersyukur kerana aku diberikan dugaan tanda Engkau masih mengingatiku dan aku tambah bersyukur kerana dugaan ku tidak lah sehebat dugaan saudara-saudara seagama dengan ku.Terima kasih Ya Allah..Kau Maha Pengasih,Maha Penyayang..

Dec 18, 2010

Jauh Perjalanan Menggugurkan Keperitan..

Hari itu daku tekad,pergi jauh membawa diri.Bukan kerana daku tidak suka bersama keluarga tapi kali ini daku pergi untuk menenangkan hati, membawa jiwa dan jasad ke sebuah negeri.Berdebar-debar juga daku membuat keputusan untuk mengikuti kakak senior ku ke Pahang.Jauh bagi ku kerana daku tidak biasa pergi sendirian tanpa ditemani keluarga tercinta.Ku tekadkan azam ku minta kebenaran dari ibu dan ayah ku.Ternyata cukup sukar untuk mendapat kebenaran untuk pergi tambahan pula menaiki bas ke sana pastinya ibu dan ayah ku tidak yakin dengan anaknya yang memang tidak biasa menaiki bas. Mana tidaknya, selama lima tahun daku bersekolah di sekolah berasrama, hanya beberapa kali sahaja daku berpeluang menaiki bas selebihnya ibu dan ayahku akan menjemputku dan menghantarku. Entah ingin dikatakan manjakah aku?Bukanlah..cuma ibu dan ayahku risau akan keselamatanku. Tapi kadang-kadang daku cuba juga untuk melepaskan diri kerana daku meminati aktiviti luar seperti camping dan pelbagai lagi. Tapi sebagai anak daku akur,dan daku faham mereka akan menjagaku sebaik mungkin selagi tanggungjawab ini masih belum bertukar tangan kepada seorang insan bergelar suami.Entah siapalah dia nanti suamiku??Jadi daku perlu jadi anak yang memahami dan bertolak ansur kepada kedua ibu dan ayahku yang amat aku cintai..

Bercerita tentang pemergian ku ke Pahang,perjalanan malam itu sangat jauh bagiku..mulut ku tak henti-henti membaca doa dan berzikir, maklumlah tidak biasa.Kelakar pun ada, daku seboleh-bolehnya mahu memejamkan mata kerana setiap kali daku membuka mata,jantung ku bagai bergerak sama laju..wah,laju sungguh driver bas nie bawa bus.Perjalanan pada pukul 11 malam mengambil masa agak lama tepat jam 4 pagi kami tiba di Temerloh,Pahang.Bersyukur daku dan terjerit kegembiraan daku apabila sampai juga di Pahang.Ayat yang mula-mula terpancul dari bibirku ialah "Wah...akak kita dah sampai Pahang...xpercaya!akhirnya sampai juga di Pahang!Oh..PAHANG!!".Akak seniorku ini hanya tersenyum dan menggelengkan kepala,entah apa lah yang difikir oleh akak seniorku ini tentangku..hihi..biar jela..
Sepanjang perjalanan ku di dalam bas dari Ipoh - Temerloh,berjurai-jurai juga air mata ku jatuh terutama bila melewati jalan-jalan lebuhraya di sekitar Kuala Lumpur. Teringat juga kenangan-kenangan semasa 'dia' menemui keluargaku di salah sebuah perhentian di sana.
Kami dijemput oleh Kak Fizan,senior ku lagi.Kami akan bermalam dan berjalan bersama-sama dengan keluarganya. Buat kali pertamanya aku merasa minum air teh yang ada tiga layer,entah apa nama menunya pun daku tidak tahu..Tapi sedappp...hihi

Pabila sampai di rumah Kak Fizan jam telah menunjukkan hampir 5.30pagi maka kami mengambil keputuan untuk terus berjaya sehingga jam 10pagi kerana kami akan bertolak ke Gambang Waterpark.Walaupun daku agak malu dengan keluarganya namun nasib baiklah seluruh ahli keluarga Kak Fizan sangat sporting, jadi tidak jadi masalahlah untuk daku berkomunikasi.Memang daku habiskan suaraku untuk menjerit sekuat-kuat hati, bergembira untuk melupakan segala kesedihan.Alhamdulillah..pulih juga hatiku ini.
Selepas itu, kami dijemput makan tengah hari di rumah sahabat kami.Cukup sedap juadah yang disajikan,niatku untuk mengurangkan makan telah hilang sepanjang berada di sana bukan tidak cukup makan tetapi terpaksa makan kerana perut asyik dipenuhi dengan juadah makanan sahaja.Alhamdulillah rezeki dari Allah. Selebihnya kami bergambar di sekitar Bera.Permandangan di sungai Pahang juga cantik dan menarik cukup menenangkan jiwa. Perjalanan di Pahang tidak dapat diisi dengan terlalu padat aktiviti kerana masa yang diambil untuk ke sesebuah tempat perlancongan mengambil masa yang lama kerana jarak perjalanan yang jauh.walaupun terasa sekejap sahaja masa di sana namun sudah cukup untuk memberi banyak pengalaman yang bemakna dan cukup manis.Terima kasih kepada semua.

Namun ada hikmah juga daku ke sana kerana semasa perjalanan pulang dari Pahang-Ipoh tiada lagi air mata yang berguguran daku tahu,daku makin kuat untuk hadapi semua ini.Terima kasih Ya Allah..Jadikanlah daku insan yang sentiasa mensyukuri Qada' dan Qadar yang telah Engkau catatkan untuk ku..Ampuni dosa ku Ya Allah..seandainya daku tidak redha,tolonglah bawaku kepangkal jalan..
Kemudian,sekembalinya dari Pahang daku berjalan-jalan pula  di sekitar Taiping melihat permandangan yang cantik di sekitar Taman Tasik Taiping. Sempat juga daku menaiki swan bersama Kak Filla terima kasih ye kerana sudi menemani daku.

~tak ada gambar nak di share semua nya kat diorg~

Dec 11, 2010

Bukakahlah Pintu Kebahagiaan

1. Beriman dan beramal salih. “Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97) Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.
2. Banyak mengingat Allah . Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah: “Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)
3. Bersandar kepada Allah. Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman: “Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik. Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati. Firman-Nya: “Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)
5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam. Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)
6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri. Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda: “Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia. Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah: “Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)

Nov 7, 2010

Andai Jalan Itu

Hati yang selama ini masih terkunci, kini ku buka kerana ku tahu sampai bila harusku kunci hati ini.Daku juga ingin bahagia seperti insan yang lain.Dalam kesukaran daku dalam memilih, kali ini aku nekad memilih dirimu..Aku tolak jauh ke tepi kegusaran di hati apabila melihat kesungguhan yang kau tunjukkan. Aku tambahkan lagi keyakinanku dengan menunaikan solat hajat dan istikarah, pergantunganku hanya satu padaMu Ya Allah..aku tidak mengerti adakah ini yang terbaik atau tidak. Dengan hati yang luhur dan penuh pengharapan aku terima dirimu..Mengharapkan kau tahu betapa tinggi harapan ku padamu...

Cincin emas yang kau berikan menjadi tanda daku kini menjadi milik mu..walaupun bukan milik yang hakiki namun ku cuba tetapkan hati untuk dirimu...Walaupun hati masih gusar, namun ku lihat satu persatu wajah ayah,ibuku keluarga ku yang sangat gembira hari ini. Begitu juga wajah keluarga mu, ku dapat lihat wajah ibumu yang menerima ku sepenuh hatinya..Alhamdulillah Ya Allah....

Ku langkah kan kaki ku mengira detik-detik kita bersama, daku tahu kita sedaya upaya menjaga hubungan ini agar direstui oleh kedua ibu bapa dan keluarga. Menjaga nama baik keluarga dan diri sendiri terutamanya yang paling penting, mengharapkan hubungan yang dibina ini mendapat restu dan redha Illahi. Alhamdulillah sejak daku mengenalimu, daku dijaga baik olehmu tak pernah kau meminta lebih dari seorang kekasih kepada kekasihnya.Daku bersyukur, namun yang ku sukar mengerti mengapa sukar untukmu menyatakan sayang dan cinta. Adakah daku tidak cukup lengkap untuk mu?

Ketahuilah sayang, daku cuba menjadi yang terbaik untuk mu.Menjadi sahabat, kekasih yang baik untuk mu. Daku tidak kisah untuk bersusah dengan mu hanya perhatian dan pengertian yang ku dambakan. Semakin hari mengapa kau semakin jauh dari ku? dalam sehari usahkan call malahan mesej pun susah untuk ku terima, ku tahu kesibukan  dirimu sebagai pendidik pasti memerlukan tanggungjawab serta komitmen yang tinggi. Namun daku tak pernah putus asa, daku harap engkau kan mengerti yang hati ini mula bercambah untuk menyayangimu. Bukan mudah untuk ku menyayangi seseorang, kini daku berikan hati ku untuk mu..Ku harap kau kan dapat menghargai dan memahami ku. Bukan ku minta wang atau kemewahan darimu namun cukuplah sekadar hati yang ikhlas menyayangiku.

Hari demi hari,minggu berganti bulan..kau semakin menjauh, entah la mengapa ku rasakan diri makin tersisih. Kesabaranku ada tahapnya.Hatiku hancur,kecewa dengan sikap mu yang banyak mengabaikan tanggungjawab yang sepatutnya engkau pikul. Mengapa sanggup berumah ditepi pantai andai takut dilambung ombak. Mengapa pilih diriku untuk kau sakiti dan kecewakan?Ingat lagi janji mu pada ku di usia muda perkenalan kita. Kau janjikan daku bahagia dan tak kan sakiti hati ku, namun inikah balasan untuk ku yang setia menanti dirimu..Sukarnya kemafaan untuk ku padamu kerna hati ini telah dilukai...

"Setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya, sesuatu yang baik belum tentu berakhir dengan baik. Begitu juga sesuatu yang buruk belum tentu berakhir dengan derita. Apa yang penting ialah tanamkan cinta pada Allah, pada jalanNya"

Oct 17, 2010

Dalam Kesamaran Kau Ukirkan Senyuman Buatku

"Balik kampung tak minggu nie?"tanya Puan Imah kepada anaknya yang sedang menuntut di salah sebuah pusat pengajian tinggi. "Hmm..maaflah ibu tak dapat balik Ayu ada banyak keje nak disiapkan, assingment, lepas tu banyak lagi nie kerja-kerja yang menanti..maaf nye ibu?"jawab anaknya cuba menyembunyikan sesuatu. "Aii..asyik assingment je dari dulu, banyak betul k asingment kamu tue?adik-adik kamu semua balik nie, ibu ingat nak ajak jalan-jalan hujung minggu nie, tapi xmengapa lah, jaga diri kamu baik-baik ye, assalamualaikum."gagang telefon diletakkan sudah lama rasanya rindu yang bersarang di jiwa ingin bertemu anaknya yang lama tidak menjenguknya di kampung. Kalau dahulunya, setiap dua minggu pasti anak kesayangannya itu akan pulang ke kampung menjenguknya. Tapi kini jangan harapkan sebulan sekali susah betul ingin melihat anaknya pulang ke kampung halaman.
Hati anak pula, bukan tidak mahu balik ke kampung namun memikirkan soal kewangan yang kini meragut kehidupan susah untuk si anak pulang ke kampung. Maafkan Ayu ibu, Ayu tidak mahu susahkan ibu. Ayu tak nak ibu tahu yang Ayu terpaksa berpuasa, terpaksa menyara hidup sendiri di sini. Ayu tahu ibu perlukan duit untuk menyara adik-adik yang juga berada di universiti. Ayu minta maaf ibu, Ayu tidak pandai berjimat. Tangis Ayu keesakkan, rindunya kepada kampung halaman tidak dapat dibendung lagi namun jika dia menggunakan sisa-sisa wang yang tinggal hanya cukup untuk dia pulang ke kampung sahaja namun untuk pulang ke tempat pengajian pasti dia akan membebankan ibunya yang tercinta.
Sejak kematian arwah ayahandanya beberapa tahun dahulu, hidup mereka sekeluarga agak susah. Ibunya yang bekerja sebagai kerani kewangan tidak dapat menampung kos perbelanjaan keluarganya yang ramai dan rata-rata adik-beradiknya telah memasuki pusat pengajian tinggi. Mereka adik-beradik telah berjanji akan belajar bersungguh-sungguh bagi membalas jasa ibunya begitu juga arwah ayah yang telah kembali kerahmatullah.

(bersambung...)

Oct 16, 2010

Jodoh...Ajal Maut...telah tersurat....

"Assalamualaikum, enti!Ya Allah..lama sungguh kita tidak bertemu..hampir sepuluh tahun kan enti?Alhamdulillah...Allah temukan kita di sini..enti sihat?Lain benar enti, dari masa kecil dulu.."tersenyum Muhammad memandang sahabat semasa sama-sama belajar alif,ba,ta.Tidak sangka Muhammad dapat dipertemukan dengan sahabatnya itu yang telah lama dirinduinya.Rindu kerana jalinan persahabatan yang erat dahulu. "Waalaikummussalam..alhamdulillah ana sihat..enta?Ya Allah kecil juga bumi Malaysia ni kan?ana tak sangka dapat bertemu enta..Enta dari kecil sampai sekarang sama je, dengan muka tembam enta,belajar dimana sekarang?"begitulah sedikit sebanyak persoalan yang sempat Iza tanyakan kepada sahabatnya Muhammad semasa sisa-sisa pertemuan yang hanya sekejap yang telah menemukan dua hati yang dahulunya terpisah hampir sepuluh tahun.Bukan mereka tidak pernah cuba mencari, namun tetap tidak dapat berjumpa. Mungkin Allah tidak mengizinkan mereka untuk berjumpa. Muhammad berpindah secara tiba-tiba setelah ayahnya ditukarkan tempat kerja. Muhammad pergi tanpa mengirimkan khabar berita kepada Iza. Terkejut Iza apabila melihat rumah Muhammad bertutup rapat tiada penghuni. Iza pulang ke rumah untuk bertanyakan kepada ibu dan ayahnya kerana kebetulan ibu dan ayahnya satu tempat kerja dengan ayah dan ibu Muhammad. Barulah Iza tahu yang ayah Muhammad telah dipindahkan tempat kerja..Pilu sungguh rasa hati Iza berpisah dengan sahabat yang akrab dengannya. 
Sungguh banyak memori mereka bersama, kenalakan mereka di Taska Pasti At-taufiq suka membuli sahabat-sahabat yang lain. Iza dan Muhammad sukar dipisahkan, apa yang Muhammad buat walaupun lelaki, Iza akan turut sama ikuti..Namun kedua-dua pelajar pintar ini sering sahaja mengungguli tempat teratas semasa peperiksaan. Mana tidaknya, Muhammad dan Iza suka berlumba-lumba untuk beroleh keputusan cemerlang sejak di taska lagi. 
Ditambah pula kenakalan selepas pulang dari taska, Muhammad dan Iza akan berlumba lari, siapakah yang akan sampai di rumah dahulu. Maklumlah, rumah bersebelahan, Iza dijaga oleh pangasuhnya yang menetap di sebelah rumah Muhammad. Pernah mereka di rotan oleh Pak Murad yang menjadi penjaga Iza kerana kenakalan mereka berdua. Namun, mereka tidak pernah serik.
Muhammad dan Iza ketawa setiap kali mengingati memori-memori lama semasa mereka masih kecil. Waktu itu, apa yang ada dan yang difikirkan ialah keseronokan sahaja tidak fikir akan bahaya yang akan melanda. Mereka nyaris dipatuk oleh ular tedung semasa sama-sama bermain pondok-pondok di atas susunan kayu-kayu.Ular itu mendongak keluar dengan tiba-tiba dari kayu tersebut, mujurlah Pak Murad mendengar jeritan mereka, cepat-cepat Pak Murad bergegas keluar mengetuk ular tersebut dengan batang buluh.Pak Murad yang bertubuh sasa cukup menyanyangi kami. 
 "Muhammad enta tahu, Pak Murad telah menemui Illahi tiga tahun yang lalu?"tanya Iza. "Innanillah...maaf enti ana benar-benar tidak tahu tentang berita ini"tertunduk sayu Muhammad mendengar berita itu,dalam hati Muhammad melonjak-lonjak keinginan untuk bertemu dengan Pak Murad yang sangat prihatin dan sayang akannya. Penemuan yang hanya sementara, namun cukup bermakna untuk keduua-dua sahabat ini. Iza sempat menghadiahkan Muhammad sebuah buku yang mungkin sesuai dengan profession yang Muhammad bakal jalani nanti. Walaupun Iza tidak mengetahui dan mahir tentang profession yang Muhammad pelajari namun buku itu dibeli atas niat agar Muhammad dapat memperoleh lebih banyak ilmu. Entah berguna atau tidak buku itu hanya Muhammad sahaja yang tahu itulah bisikan hati Iza.Setelah beberapa lama, Muhammad dan Iza masih berhubung sebagai sahabat. Dunia yang kian pesat dengan teknologi menghubungkan mereka.
"Enti, izinkan ana untuk bertanya...boleh kan?"soal Muhammad penuh tertib. "Hmm..ya..enta,tanya lah...andai ana boleh menjawabnya...akan ana jawab..InsyaAllah"jawab Iza penuh persoalan."Enti,ana bukan ingin mengalih hati enti dari mengenal pencipta, tapi ana tidak mahu bunga dipetik orang,enti adakah enti sudah berpunya?"soal Muhammad mengharapkan pengertian dari Iza. Disebalik dunia teknologi yang satu lagi, berderai air mata Iza adakah untuk sujud syukur mengenangkan tautan hati ini atau perlu menangis keesakan mengenangkan diri yang tidak lama lagi bakal disunting oleh sang pemuda."Muhammad....maaf kan ana...biarlah ana berfikir dahulu..ana  tiada jawapan untuk soalan enta..istikarah ya enta"jawapan yang diberi cukup sukar dituturkan kerana jauh di dalam hatinya ada  sesuatu yang tersimpan. Doa Iza hanyalah semoga Allah permudahkan semua ini.
Selang beberapa lama setelah soalan ditujukan barulah Iza diberi kekuatan untuk menceritakan perkara yang sebenar...Rombongan meminang akan tiba beberapa bulan lagi,Iza akan disunting oleh seorang pemuda.Takdir mana yang harus dipersalahkan?adakah kerana mereka lambat dipertemukan atau jodoh bukan milik mereka?berguguran air mata Muhammad mendengarnya...Muhammad redha begitu juga dengan Iza...
Dalam hati Iza, sentiasa membisik dan memujuk hati.."Mungkin aku tidak layak untuk memiliki insan sebaikmu Muhammad"..
Jodoh pertemuan di tangan Mu Ya Allah....Iza redha......air mata gugur lagi....



*sebuah kisah yang dikongsi oleh sahabat ana*

Sep 24, 2010

Masa Kian Suntuk...







Ya Allah cukup aku diduga dengan masa....dalam kesibukan mengejar hal-hal dunia, takut ku leka padaMu..
Beginilah kehidupan seorang mahasiswa yang cukup 'busy dgn assignment'...tpi masa tak ada assignment pun busy,masa ada assignment lagi la busy....dah last-last minute baru lah nk sibuk-sibuk buat segala-galanya.
"Nabi Muhammad s.a.w bersabda: dua nikmat yang manusia sering lupakan iaitu nikmat sihat dan waktulapang"sahih HR Bukhari...



Apa yang kita buat masa sihat,apa yang kita buat waktu lapang....


Mari sama-sama muhasabah diri....renungkan kekurangan diri....

Sep 17, 2010

Ayah,ibu,bonda,ayahanda,mama,baba,walid,ummi................

Pelbagai nama digelar oleh seorang anak kepada insan yang melahirkan dan mewujudkan mereka ke dunia. Sesedar dari dibuai mimpi di dalam rahim ibu,lahirlah seorang insan suci di dunia ini...berkat kesabaran seorang ibu yang menggalas beban dan derita selama 9 bulan sepuluh hari kadang kala singkat lagi masanya dan ada juga yang lebih waktunya.Semuanya demi seorang insan bergelar anak. Begitu juga ayah yang sabar menanti,melayan karenah ibu dan sama-sama menghitung masa kelahiran bayi mereka..


Ayah Dan Ibu

Ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapatlah melihat bulan dan
Matahari
Ahai...

Yang dikurniakan dari Ilahi
Ahai...
Ayah dan ibu lah
Mesti dihormati

Ayah dan ibu
Wali dan juga keramat
Pada mereka kita beri hormat
Ahai...
Bagilah tunjuk ajar dan
Nasihat
Supaya hidup
Supaya hidup kita akan selamat
 
Wahai insan yang bergelar anak,walau berapa usia kamu ingatlah kamu adalah seorang anak. Pada yang masih mempunyai ibu dan ayah hargailah mereka semasa mereka masih bernafas..Berikanlah kasih sayang kepada mereka..Ujarkanlah perkataan yang baik kepada mereka. Benarkah, kasih dan sayang sukar dilafazkan dan ditunjukkan?adakah terlalu sukar untuk menunjukkan kasih dan sayang kepada seorang yang bergelar ayah dan ibu?jangan lah sehingga satu saat apabila lafaz itu terus terpendam,pasti pada masa itu menyesal,meraung untuk melafazkannya tidak lagi bererti kerana pada masa itu lafaz yang terluah tidak dapat dibalas lagi oleh mereka kerana mereka telah pergi menuju ke seruan Ilahi...
Wahai anak, ketahuilah ayah dan ibu pastinya inginkan yang terbaik buat anaknya. Mungkin ada hasrat kita yang tidak disetujui, namun pasti ada sebabnya mereka mereka ingin begitu.Salahkah kita cuba menggembirakan mereka sementara mereka masih bernafaz?Kerana tanpa mereka belum tentu kita bisa berdiri di kaki sendiri seperti kini. Ingatlah masa tempat jatuh bangunnya kita, meniarap,bertatih.....siapakah yang mengajar kita kembali berdiri?jangan hanya kerana kita sudah dewasa kita lupakan jasa mereka....
 
Ingatlah pula,
Bersumber dari Abu Hurairah Radhyallahu ‘anhu, ia menuturkan bahwa Rasulullah Shallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Apabila seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah amalnya kecuali tiga hal : yakni sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak saleh yang selalu mendoakannya” HR. Muslim
Anak soleh adalah amal bagi orang tuanya yang tidak akan putus-putusnya.
 
Menangisku mengenangkan dosa ku terhadap insan yang sangat ku sayangi ini..belum terbalas jasa mereka..mampukah aku membalas jasa mereka?Wahai insan yang bergelar anak....renungkanlah....siapalah kita untuk mendabik dada menunjuk kepandaian atma, dihadapan insan yang telah lama membesarkan kita....Sayangilah mereka selangi mereka masih bernafaz.... 
 
 

Sep 15, 2010

Penaku Kembali Terukir

Ku mulakan penaku dengan lafaz bismillah.....

Teringin benar rasa hati ingin mencoret dan mengukir kembali penaku yang telah lama dibiarkan tidak berdakwat...

Mungkin saki-baki dakwat ku kini kian luntur tidak sepekat dulu..namun akan ku asah kembali menjadi pena yang berguna...



Ku biar tumpah dakwat pena ku
Ku biar kering disejat mentari
Ku biar anganku membawa mimpi ku terbang
Ku biar keinginan ku mati bersama penaku 
Ku biar helaian kertas bertaburan
Melenyapkan segala yang tersimpan di hati
Kini
Ku sedar angan tidak membawa harapan
Ku sedar dengan diulit mimpi tiada berkesudahan
Lantas
Ku ambil pena
Ku sisip rapi
Ku basahkan kembali pena 
Agar penaku bisa menari
Agar penaku bisa mencoret
Agar penaku kembali terukir
Semurni Bingkisan Hati

Salam perkenalan untuk semua...