Dec 26, 2011

Ku Capai Awan!!

Assalamualaikum..lama sudah tidak tercoret apa-apa di laman ini kan?Rindu membuak-buak ingin menulis pelbagai pengalaman menarik sepanjang cuti ini.

Pengalaman mendaki Puncak Tertinggi Di Asia Tenggara iaitu Puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian mencecah 4,095 meter dari aras laut. Memang sesungguhnya tidak pernah terlintas dek fikiran untuk menjadi salah seorang pendaki gunung. Walaupun memang meminati aktiviti lasak, namun tidaklah pernah mengidamkan sesuatu yang diluar jangkaan, terima kasih Ya Allah memilih hambaMu yang kerdil ini untuk sama-sama melihat keindahan ciptaanMu. Apabila berada di atas puncak menjadikan daku semakin kerdil.Luas terbentang kuasa Mu mencipta bumi ini penuh dengan keindahan. Benarlah, mengembaralah kalian untuk mencari keagunganNya untuk mendekatkan diri kepadaNya. 

Dalam banyak-banyak pengalaman, teringat semasa menunaikan solat subuh berjemaah semasa menuju ke puncak. Jam menunjukkan pukul 5.20 pagi.Waktu subuh telah pun masuk beberapa minit yang lepas. Perjalanan yang agak penat kerana berlawan dengan kesejukan angin gunung cukup menguji ketabahan dan kekuatan mental serta fizikal. Kadang kala, kaki ibarat membeku berhenti berjalan.Aduhai,berikanlah kekuatan.Hanya zikir-zikir untuk menguatkan rohani. Semasa rakaat pertama, ku sujud menyembahMu terasa amat sayu sekali,tidak pernah terlintas akan dapat sujud di batu sejuk ini di atas Gunung Kinabalu ini. Daku solat duduk berimamkan Ustaz Zakaria, air mata jernih jatuh satu persatu.Cukup sayu,dengan angin bertiup sejuk sekali nyaman terasa.Ku pohon keampunan padaMu dan memohon agar diberi kekuatan untuk terus bertahan agar dapat meneruskan langkah-langkah terakhir sebelum sampai ke puncak yang tidaklah beberapa jauh lagi. 

Alhamdulillah,sujud syukur di atas puncak Gunung Kinabalu.Itulah satu memori yang sukar digambarkan dan sukar untuk diluahkan.Hanya diri sendiri yang dapat menterjemahkannya. Semuanya dengan diri masing-masing apabila sampai ke puncak, hilang terus penat dan lelah mendaki. Selepas mendaki kami menyelam pula ke dasar laut.Subhanallah sungguh cantik di Pulau Mamutik. Dahulunya, Izz Zayani pernah menyelam di Pulau Manukan tapi Pulau Mamutik lebih indah dan cukup memberi kepuasan kepada pencinta kehidupan dasar laut. Terumbu karang yang cantik dan pelbagai spesies ikan yang jinak. 

Ingin juga dikongsi pengalaman menaiki "Paragliding boat' belon yang ditarik oleh bot di atas laut dan di udara. Memang satu percutian yang menarik. Alhamdulillah..syukur kerana menjadi tetamu di Sabah. :) Andai ada peluang, mahu lagi ke sana dengan insan-insan tersayang pula..amin..


Inilah contoh Paragliding best tau! :)

No comments: